Konsep Skim Lencana Antidadah (SLAD)

Skim Lencana Anti Dadah adalah merupakan satu langkah jangka panjang untuk memupuk semangat dan sikap bencikan dadah di kalangan penuntut-penuntut sekolah. Skim ini adalah merupakan satu usaha pendidikan pencegahan awal untuk mencegah penularan masalah dadah di kalangan pelajar-pelajar. Walaupun adalah pelajar sekolah yang terlibat dalam perbuatan menyalahgunakan dadah, tetapi penglibatan mereka masih dapat dikawal dan kebanyakan hanya pada peringkat mencuba-cuba dadah sahaja. Oleh itu program ini adalah satu program yang cuba menyekat dan akhirnya menghapuskan perbuatan menyalahgunakan dadah di kalangan pelajar-pelajar. Segala penerangan yang diberikan kepada peserta skim ini adalah untuk menerangkan secara menyeluruh ancaman dan bahaya penggunaan dadah untukĀ  mewujudkan persefahaman yang tinggi di kalangan penuntut-penuntut sekolah terhadap masalah dadah di Malaysia.

Skim ini adalah menggunakan pengaruh teman sebaya (peer group influence) untuk menyampaikan mesej anti dadah dan melibatkan murid-murid yang menganggotai Pasukan Pakaian Seragam di sekolah masing-masing. Pengetahuan yang diperoleh menerusi penyertaan dalam skim ini akan membolehkan mereka untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mencegah penggunaan dadah di kalangan rakan-rakan sekolah, teman-teman sebaya, keluarga, sahabat-handai dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan mereka. Penuntut yang menyertai skim ini akan dapat berinteraksi secara berkesan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah, misalnya dapat memujuk atau meyakinkan pelajar yang bermasalah itu berjumpa dengan guru bimbingan atau sesiapa sahaja yang difikirkan dapat membantu menyelesaikan masalah pelajar berkenaan.

Selain itu, anggota pasukan seragam yang telah menerima Lencana atau Sijil Anti Dadah ini boleh terus berkhidmat kepada masyarakat selepas tamat tempoh persekolahan; umpamanya sebagai ahli panel penceramah, kaunselor dalam program seliaan lanjutan bekas penagih atau sebagai sukarelawan dalam aspek tindakan anti dadah yang lain.

Aktiviti dalam program Skim Lencana Anti Dadah ini adalah merupakan satu daripada pelbagai aktiviti pasukan pakaian seragam berkenaan. Untuk menimbulkan rasa penglibatan bersungguh-sungguh dalam Program Skim Lencana itu, anggota-anggota Pasukan Pakaian Seragam yang menyertai skim ini dikehendaki lulus dalam ujian-ujian dan melakukan kerja-kerja praktikal, barulah dianugerahkan Lencana Anti Dadah. Lencana Anti Dadah ini adalah merupakan penghargaan kepada penglibatan pelajar-pelajar itu dalam aktiviti anti dadah. Mereka boleh memakai lencana itu sebagai satu daripada lencana-lencana kemahiran.

Posted in Uncategorized | Leave a comment